Monday, November 23, 2009

Ibunda kami, 11-11-2009 & 9:15 pagi...

Air mata kami belum lagi menitik untukmu ibu, ia ada didalam

Wahai ibu kami yang dicintai sentiasa,

Kami rasa terkejut atas kesakitanmu yang mengejut, lalu kami jaga ibu, seperti ibu menjaga kami ketika kecil. Ibu bertegas meminum air walaupun dipaksa berpuasa untuk pemeriksaan lanjut, lalu kami hulurkan air dengan penuh kasih sayang,walaupun kami dimarahi oleh Doktor yang bertugas.

Ibu sempat bercakap dengan kami, dengan renungan ibu, seolah-olah mahu berjalan jauh, namun kami menidakkannya, malah memberi semangat pada ibu agar jangan putus asa dan sentiasa berzikir ingatkan Allah.

Namun, pada malam terakhir kami menjaga ibu, kami bermimpi dilobi ICU hospital, lalu terjaga, kami sedar, ibu sudah bersiapsedia dengan perjalanan ibu. Kami bisikkan ditelinga ibu, carilah bunyi jantung itu, ikutlah rentak jantung itu, ikutlah alunan jantung itu dengan zikir Allah,Allah,Allah dan jangan terputus..., kami akun dan akui, kami terpaksa melepaskan ibu untuk bertemuNYA. Kami tidak akan menahan ibu lagi, kami akan sentiasa bersama ibu hingga nafas kami terakhir.

Lalu pagi itu, ibu pun kembali menemuiNYA...

Airmata kami tidak dan belum menitis lagi, sehingga kami memyambut mayat ibu diliang lahad dan kami letakkan kepala ibu berhati-hati dengan berbantalkan tanah setelah kami menghidukan bau tanah ke arah ibu.

Sehingga, sekalian saudara mara kita meninggalkan kawasan perkuburan selepas talkin, kami masih disana menunggu ibu agar ibu sedar akan keadaan sebenarnya.

Kami masih sedih akan pemergian ibu, namun kami sedar dan teringat akan laungan tawaf kita bersama-sama bila kita mengerjakan umrah dan haji pada tahun lepas, rupa-rupanya itulah hadiah yang besar harga pada diri kami yang hina ini.

Ibu, insyaAllah, dengan qudrat dan iradat Allah yang Maha Kuasa yang meliputi zat segala-gala, kami akan sentiasa ingat ibu dan kami serahkan ibu kepada Allah SWT di dalam penjagaanNYA, kerana kami yakin dan haqqulyaqin, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap ibuku iaitu Hajjah Warnih Bte Rahmat,


Al-Fatihah untuk ibunda kami....