Thursday, June 30, 2011

Pertemuan yang WAJIB

Mari kita bersama mencari jalannya.

Perjumpaan hamba dengan Allah SWT adalah satu kemestian.

Tidak boleh tidak. 


Tidak sah seseorang hamba itu kalau dia tidak bertemu dengan Allah SWT.

Perjumpaan itu sebagai menandakan sebagai seorang hamba itu memang mempunyai hubungan kait di antara satu sama lain. 


Perjumpaan itu juga adalah wajib untuk saling kenal mengenali diantara satu sama lain.

Sesiapa yang tidak kenal atau bertemu dengan Allah, kesannya begitu amat buruk sekali. 


Orang yang tidak kenal akan Allah, keadaannya tak ubahlah seperti orang yang tidak ada Allah.


Mereka yang tidak kenal Allah samalah sepeti orang yang tidak ada tuhan. Dan mereka yang tidak ada Allah, hidupnya tidak membawa apa-apa erti, hanya mengharap balasan pahala dan syurga. 


Padahal, apalah haq kita sebagai hamba? jika tidak mengenal Allah SWT, macamana mahu memohon? atau meminta?


Silalah mencari siapa diri kita sebenarnya....

Monday, June 20, 2011

Mukholafatulihawadits


Dimana pintu yang harus dimasuki?

Kenapa payah untuk mengenali Tuhanmu?

ini kerna Allah itu tidak terbentuk, berhuruf, berwarna dan bertentangan dengan sifat-sifat zahir alam ini kerna ia berdiri di atas sifat Mukholafatulihawadits : "TIDAK ADA SESUATU PUN YANG SERUPA DENGAN DIA"-As Syura 11. Kalau silap pegangan dan pemahaman menyebabkan kita syirik dengan Allah SWT ataupun menjadikan kita bertuhan kepada diri sendiri (AKU). Justeru itu, tidak ada sesiapa di dalam dunia ini, telah mengaku dapat berjumpa dengan Allah, melainkan setakat kenal ZAT, SIFAT, ASMA dan AFAALnya sahaja. Zat Allah pun tidak siapa yang kenal.

Seandainya ada dakwaan mengatakan seseorang itu pernah berjumpa dengan Allah seperti mana dia pernah berjumpa dengan makhluk biasa, dakwaan itu tiada boleh dipercayai. Ia hanya dongeng semata-mata, satu rekaan yang dilandaskan kepada fantasia fikirannya. Dakwaan itu hanya untuk menjual kehebatan diri sahaja, kononnya dia sudah sampai ke peringkat MUQARABBIN.

Kenapa kami berkata begitu? kerna sekalian daripada Nabi besar Muhammad SAW dan para Rasul lain, tidak ada manusia yang dapat memandang Nur Allah secara pasti. Tidak mungkin bagi manusia biasa yang tidak terpilih dan diistimewakan dapat berkenalan atau berjumpa dengan Allah seperti mana yang pernah berlaku kepada Rasul-RasulNYA dan para NabiNYA itu.

Awal agama kita semua

Jangan tergelincir dengan arus dunia

AWALUDIN MAKRIFATULLAH-"Awal agama ialah mengenal Allah". 

Paling wajib dan paling bermakna dalam kehidupan seseorang itu ialah apabila ia mempunyai agama,di mana ia memahami asal-usul agamanya. Ketamadunan dan kemuliaan hidup manusia itu diukur melalui agamanya. Sementara kemuliaan dia dalam beragama itu pula bergantung sejauh mana dia kenal akan Tuhannya. Kalau seseorang itu tidak mengenali Tuhan yang menurunkan agama untuknya itu, maka agama (aqidah) itu tidak sah. Bagaimana bijak dia membaca ayat-ayat Tuhannya, ayay yang dibacanya itu SEDIKIT pun tidak memberi apa-apa makna dan erti kepadanya. Dan taraf hidupnya tak ubah seperti burung Tiong yang pandai bersiul tetapi tidak tahu apa maknanya siulan itu.
Justeru itu tugas mengenal Allah bukan tugas yang ringan dan boleh diremeh-temehkan. 

Tugas mengenali Tuhan, adalah tugas ZAHIR & BATHIN yang amat sulit dalam kehidupan manusia. Tugas mengenal Tuhanlah tugas yang berat sekali. Lantaran itu terbit hadis yang berbunyi, awaluddin makrifatullah (awal agama itu mengenal Allah).

Sunday, June 12, 2011

AlQuran yang tersurat dan tersirat? manusia malas mencari dan menghayatinya.


Apa yang kita pandang?
Kisah Nabi Allah Ibrahim dibakar oleh api, dengan penuh penyerahan mutlak,beliau melangkah akan takdirnya,namun dengan keredhaan Allah SWT,beliau tidak dibakar oleh api itu. Ini adalah kisah yang telah terjadi dan terkandung di dalam kitab AlQuran untuk renungan dan peringatan kita semua.
Tapi, dalam AlQuran juga telah menceritakan segala apa yang telah terjadi di Neraka dan di Syurga. Pelbagai kisah diceritakan kepada kita bagaimana siksaan perit yang amat sangat di Neraka hingga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Begitu juga dengan kisah di syurga, kenikmatan yang tidak terhingga, semuanya sungguh indah sekali.
Inilah yang perlu difahami,direnungi dan dihayati...,AlQuran adalah rujukan kita semua, bahkan Rasulullah SAW meninggalkan Qalamullah ini untuk dijadikan panduan kita semasa di dunia ini sebelum ke alam barzakh dan ke alam akhirat.

Sedangkan makna ALIF LAMM MIN pun kita malas mahu mencari pengertiannya!, pendek kata, biarlah Allah SWT yang tahu maksudnya. Sedangkan DIA sendiri mahu insan mengenal perbendaharaanNYA!, DIA mahu DIA dikenali oleh kita semua.

Kita hanya menghafal AlQuran namun kita fahami isinya?

Kita fahami isi AlQuran namun adakah kita menghayatinya?

KIta menghayati AlQuran namun adakah kita selari dengan AlQuran?

AlQuran telah menceritakan segala-galanya dari awal kejadian alam semesta hingga kedudukan syurga dan neraka,adakah kita faham? apa sebenarnya yang tersurat dan tersirat? 

Umpama kejadian ini telah berlaku,namun diceritakan kembali kepada kita semua, jadi? kenapa kita masih di sini? masih hidup? belum kiamat? Wallahuallam....

seolah-olah kita melakon kembali watak kita, dan AlQuran menjadi landasan agar kita tidak lupa janji kita yang kita lafazkan di depan Allah SWT sebelum diturunkan ke dunia ini...

"AKU BERSAKSI TIADA TUHAN YANG AKU SEMBAH SELAIN ALLAH,DAN MUHAMMAD ITU ADALAH PERSURUHNYA".

dan kita juga akan kembali denganNYA berserta kalimah yang lafazkan di atas,namun adakah kita menemuinya dan memahaminya.
Kerna bila saat kita menghadapi kiamat kecil iaitu waktu nazak , tika itu, nafas dari jantung akan terhenti,kita akan panik sakan dan dapat lagikah kita menyebut kalimah itu dikala nafas jantung mulai kaku?
sedangkan kita tidak memahami kalimah syahadah yang tersurat dan tersirat.
sedangkan ramai yang tidak tahu bahawa kalimah syahadah tidak akan berhuruf bila ilmuNYA berserta dengan kita,iaitu insan,yang mempunyai 4 unsur,tanah,air,angin dan api, serta insan yang ada pada diri ALIF, DAL, MIM. Allah ada di dalam Muhammad...,itulah yang kita cari,cari dan cari.
Janganlah manusia itu tergolong orang yang rugi, kerna semua arwah-arwah yang telah meninggal dan diseksa diliang lahad, telah bermohon kepada Allah Maha Kuasa akan dimohon dihidupkan kembali di dunia ini walaupun 1 hari, kerana mereka ingin mencari DIA dan memahami DIA, Allah SWT, meliputi segala alam...

Sunday, June 5, 2011

Oh Tuhanku KepadaMu ku pohon ampun doa restu Lindungilah daku yang tidak berdaya Di bumiMu ini

Sendirian sentiasa


Gelombang
Nasibku dirundung malang,Sederas gelombang,Menghempas di pantai,Semalam aku ternoda,Dalam sinar cahaya di jendela,Tiada esok lagi,Gelap masa depan,Sinar hidup,ini tiada erti,Hidupku seperti badai,Tak henti gelora,Musnahlah segala,Perasaan dan harapan,Untuk hari esok tiada lagi, Oh Tuhanku...,KepadaMu ku pohon ampun doa restu,Lindungilah daku yang tidak berdaya,Di bumiMu ini.......

"Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang."


Dengan siapa kita menyebut namaNYA?,
adakah kita yang menyebutnya?,
memang syariahnya, kita yang menyebutnya, namun yang sebenarnya yang tersirat dan tersurat, dengan siapa yang menyebutnya?  
adakah kita menyebutnya sendirian? menyebut seorang diri? 
sedangkan di dalam kita ada lagi kewujudannya yang kita tidak sedari dan tidak mahu ambil tahu akan kewujudan dalam diri kita sendiri, maka itulah manusia sering kerugian, sedangkan di dalam diri sendiri ada sudah dibekalkan semasa dilepaskan ke dunia ini, namun keegoan manusia membuatkan tolol,bodoh,lupa dan lalai segalanya,seolah-olah bila kita kembali kepada Allah SWT, DIA akan menerima kita!, padahal bagaimana DIA mahu menerima kita,jika kita tidak mahu mengenal DIA, Raja Perbendaharaan Segalanya!

Jadi? dengan nama siapa yang menyebut "Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang"?, adakah kita? TIDAK!!!, kita tidak bersendirian sekarang, sedangkan DIA pernah berfirman dimana ada Muhammad, disanalah ada ALLAH.

Adakah kita kenal Muhammad? bukan Nabi Muhammad atau Rasullullah SAW.

Adakah kita kenal Allah? kita tidak diajar mengenalnya,padahal Rasullulah SAW mengenal ISLAM dengan mengenal ALLAH terlebih dahulu! adakah kita menturuti syariah Rasullulah SAW? ada, dengan memelihara janggut!!!.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang...,

DIA memang maha segalanya, tapi bila kita menyebutnya,adakah sifat-sifatnya pengasih dan penyayang ada di dalam diri kita?,iya memang ada,tapi pandai berselindung,jika terjumpa kaum kafir sifat pengasih dan penyayang tiada pada diri kita dan hanya lakonan semata-mata demi persahabatan,padahal sifat itu MUTLAK sekian lama pada diri kita. Sedangkan DIA ghaib dengan zatNYA,nyata pada hambaNYA.

Sifatnya ada pada diri kita,cuma kita bodoh,tolol,temberang,egois dan lalai mahu mengenal sifatNYA sebab kita cukup yakin ALLAH akan menerima kita, sedangkan kita belum kenal DIA lagi....

Saturday, May 22, 2010

Kami takut lupa


Alhamdulillah,namun bukan aku yang memandangnya

Tiada yang paling indah jika berpeluang berdepan kaabah. Saat yang ditunggu-tunggu oleh setiap insan. Memang saat-saat itu itu tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata dan tulisan, hanya insan itu yang tahu dan faham akan perasaan itu.
Allah SWT Maha Suci yang Maha mengetahui akan diri kita, kerana DIA ada di dalam kita selama ini, hanya kita selalu dan sentiasa lalai akan kewujudanNYA.
Sedangkan sifat-sifat 20Nya ada pada diri kita, 4 unsur milik DIA, Muhammad Zahir dan Batin milik DIA, roh adalah urusanNYA, jadi dimana kita punya? tiada satu pun milik kita!

Jadi siapa yang memandang dan siapa dipandang?
MasyaAllah.

Istinjak


Jauhkah kita sebenarnya?


Permulaan istinjak adalah bila kita hendak menjamah makanan. Seperti yang disyariatkan, bacaan doa makan adalah perlu supaya mendapat keberkatan di atas rezki kurniaanNYA.
Setelah bacaan doa makan selesai, disanalah kita iktikad semua makanan diatas meja itu adalah NUR, kerana semuanya itu ada dari barang yang baharu.
Disanalah bermulanya istinjak yang sebenarnya, dan bukanlah semasa di tandas.
Penjagaan permulaan istinjak ini adalah perlu, kerana inilah yang akan menentukan akan kesempurnaan istinjak kita.
Namun, rahsia ini tidak dihuraikan kerana ramai yang tidak mahu mencari akan kebenaran ini.
Jika istinjak ini tidak dijaga, kita akan memikul segalanya kerana kita adalah dua, iaitu Muhammad zahir dan Muhammad bathin. Kita sentiasa bersama-sama, tapi kita lupa dan lalai menjaga salahsatu darinya.
Justeru itulah,ramai para sufi selalu mengingatkan sesama sendiri, marilah kita kembali ke kalimah iaitu pengakuan kita, kalimah syahadat.
Wallahuallam.

Wednesday, December 23, 2009

ISLAM kah kita semua? kita faham akan ISLAM umpama kulit telur dan telur,tapi mana telurnya?


Berikanlah kami kefahaman, dimana kefahaman ini adalah sebaik-baik rezeki bagiku,amin.

Kenapa kita takut mati? kerana banyak dosa?
kenapa kita banyak dosa? kerana kita engkar akan arahanNYA,
kenapa kita engkar akan arahanNYA? kerana kita masih tidak sedar diri?
kenapa kita masih tidak sedar diri? kerana kita masih belum kenal diri?
kenapa kita masih belum kenal diri? kerana kita malas mahu mencari?
kenapa kita malas mencari?

Kita masih tidak sedar akan sifat-sifatNYA di atas diri kita. Allah SWT yang Maha Berkuasa telah mentajali segalanya keatas diri kita yang langsung tiada dan kosong. Semua dari luar dan dalam adalah hak milik hakiki Allah Maha Pencipta.
Kita tidak akan bergerak jika tiada arahan dari dalam, dan dalam tidak akan bergerak jika tidak ada arahan dari atas.

Rasullullah SAW, sebelum turunnya ISLAM, baginda telah mengasingkan dirinya ke gua Hira untuk memcari siapa yang menciptanya setelah konsep ketuhanan berhala tidak relevan langsung. Baginda bertafakur, berfikir dan mencari tentang diri sendiri. Baginda sedar akan wujudnya Tuhan lalu, pencarian dan pemahaman diteruskan tanpa putus asa.
Rasullullah SAW sedar,akan wujudnya kuasa yang meliputinya yang menghidupkan segala yang diliputi alam semesta, malah tangan akan bergerak tanpa arahan dari dalam, dan dalam tidak akan bergerak tanpa arahan dari atas, tapi siapa?

Nah, lihatlah dan nyatalah, Rasulullah SAW mengenal ISLAM melalui dengan mengenal dirinya, kerana selepas baginda mengenal dirinya maka dapatlah baginda mengenal Tuhannya. Selepas baginda memahami siapa dirinya, maka turunlah agama ISLAM sebagai landasan syariat untuk umatnya bertaqwa dan beriman terhadap ALLAW SWT.

Sekarang ini, situasi kita berbeza dari waktu Rasulullah SAW menganut ISLAM. Baginda kenal dulu dirinya,baru kenal akan tuhannya, tapi kita sekarang sudah awal dijadikan ISLAM melalui ibubapa kita. ISLAM kita adalah ISLAM keturunan, dan ISLAM kita adalah ISLAM pak turut.

Maka wajiblah kita, setelah kita ISLAM semuanya, kita wajib mengenal diri kita, dan selepas itu barulah kita mengenal Allah SWT.

Carilah akan rahsia itu, kerana rahsia itu terkandung didalam diri kita, Muhammad zahir dan Muhammad Bathin.

Ingat dalam AlQuran, manusia itu sentiasa rugi : perkataan manusia itu ramai dan semua.
Wahai orang yang beriman : ditujukan khusus kelompok orang yang bertaqwa.
Wahai Muhammad : ditujukan kepada yang memahami diri terpiri,tapi bukan dia tapi DIA.

Wallahuallam...

Monday, November 23, 2009

Ibunda kami, 11-11-2009 & 9:15 pagi...

Air mata kami belum lagi menitik untukmu ibu, ia ada didalam

Wahai ibu kami yang dicintai sentiasa,

Kami rasa terkejut atas kesakitanmu yang mengejut, lalu kami jaga ibu, seperti ibu menjaga kami ketika kecil. Ibu bertegas meminum air walaupun dipaksa berpuasa untuk pemeriksaan lanjut, lalu kami hulurkan air dengan penuh kasih sayang,walaupun kami dimarahi oleh Doktor yang bertugas.

Ibu sempat bercakap dengan kami, dengan renungan ibu, seolah-olah mahu berjalan jauh, namun kami menidakkannya, malah memberi semangat pada ibu agar jangan putus asa dan sentiasa berzikir ingatkan Allah.

Namun, pada malam terakhir kami menjaga ibu, kami bermimpi dilobi ICU hospital, lalu terjaga, kami sedar, ibu sudah bersiapsedia dengan perjalanan ibu. Kami bisikkan ditelinga ibu, carilah bunyi jantung itu, ikutlah rentak jantung itu, ikutlah alunan jantung itu dengan zikir Allah,Allah,Allah dan jangan terputus..., kami akun dan akui, kami terpaksa melepaskan ibu untuk bertemuNYA. Kami tidak akan menahan ibu lagi, kami akan sentiasa bersama ibu hingga nafas kami terakhir.

Lalu pagi itu, ibu pun kembali menemuiNYA...

Airmata kami tidak dan belum menitis lagi, sehingga kami memyambut mayat ibu diliang lahad dan kami letakkan kepala ibu berhati-hati dengan berbantalkan tanah setelah kami menghidukan bau tanah ke arah ibu.

Sehingga, sekalian saudara mara kita meninggalkan kawasan perkuburan selepas talkin, kami masih disana menunggu ibu agar ibu sedar akan keadaan sebenarnya.

Kami masih sedih akan pemergian ibu, namun kami sedar dan teringat akan laungan tawaf kita bersama-sama bila kita mengerjakan umrah dan haji pada tahun lepas, rupa-rupanya itulah hadiah yang besar harga pada diri kami yang hina ini.

Ibu, insyaAllah, dengan qudrat dan iradat Allah yang Maha Kuasa yang meliputi zat segala-gala, kami akan sentiasa ingat ibu dan kami serahkan ibu kepada Allah SWT di dalam penjagaanNYA, kerana kami yakin dan haqqulyaqin, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap ibuku iaitu Hajjah Warnih Bte Rahmat,


Al-Fatihah untuk ibunda kami....

Tuesday, October 20, 2009

Hamba jangan lalai


Kesedaran tentang diri kita hendaklah sentiasa ada. Apa yang yang telah ditinggalkan oleh Rasullullah SAW seperti Al Quran dan Sunnahnya adalah landasan untuk meneruskan kehidupan kita di dunia. Ini penting untuk peringatan kita sendiri bila kita sampai di kehidupan ini.

Dulu kita hidup dari alam ghaib. Kita telah mengakui dan berjanji bahawa tiada tuhan yang disembah kecuali ALLAH SWT. Di alam ghaib ini kita semuanya sama, tiada yang tidak sama, kesimpulannya semua sama kerana masa itu kita adalah ROH.

Bila kita sampai di kehidupan ini, kita mulai alpa dan lalai akan janji kita. Kita tergoda akan kehidupan ini, sedangkan kehidupan ini bukanlah tempat kita, kerana selepas ini kita jua akan kembali ke alam ghaib iaitu menjadi ROH jua.

Cuma kali ini, bila kita sampai di kehidupan ini, kita dibekalkan bersama dengan nafsu untuk tujuan di kehidupan ini, jikalau tidak dibekalkan nafsu, bagaimana kita mahu hidup di kehidupan ini?. Hanya yang perlu, biarlah kita di atas nafsu, di atas segala-galanya nafsu, kerna jika tidak, nahas kita dipermainkan oleh nafsu.

Dalam Al Quran kita telah diajar tentang asal-usul kita. Dari mana kita, di mana kita dan kemana kita selepas ini. Banyak undang-undang dan peraturan yang tercatat di dalam Al Quran, ini perlu kerana, selagi kita bernama anak Adam, iblis akan mengoda dan memesong perjalanan kita bertemu Allah SWT. Harus sedar, segala godaan ini tidak akan terputus sehingga hari kiamat kita iaitu bila kita meninggal. Justeru itulah, sakratulmaut adalah hari kiamat anak Adam tersebut. Bila kita belajar mengenal Allah, kita akan melalui perjalanan mengenal diri yang zahir, mengenal diri yang batin dan mengenal Allah SWT. Barulah kita sedar siapa diri kita sebenarnya, macamana pun kedudukan kita dikehidupan ini, semuanya bukan boleh dibawa ke alam ghaib, kerna apa yang pasti Allah SWT akan menyoal kita kembali, siapa tuhanmu? Itulah soalan yang pasti akan ditanya kembali bila kita kembali, soalan yang sama sebelum kita pergi di kehidupan DUNIA ini.Ingatlah kita ini hanya hambaNYA saja. Cuba kita renungkan, Dzat bukan milik kita, Sifat bukan milik kita, Asma' bukan milik kita dan af'al bukan milik kita jua. Semuanya bukan hak kita, jadi dimana hak kita sebenarnya? kita tiada disana sebenarnya, semuanya milik Allah SWT. Maka wajarlah kita mengatakan dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali, akhirnya kita kembali juga yang punya milik. Alhamdulillah, Allah SWT telah menitipkan peringatan tentang Allah dalam diri kita (manusia) dengan bunyi degupan jantung kita, itulah peringatanNYA khusus untuk kita, namun tidak semua yang ingat akan pelajaran yang telah diajar ketika kita di alam ghaib, cuma segelintir saja dengan hidayahNYA yang akan diperingatkan kembali akan bunyi jantung itu, dan bunyi itu akan berhenti sehingga kita kembali kepadaNYA.

Wallahuallam..

Friday, October 16, 2009

Kita adalah pak turut.

Kita mesti mencari DIA, bukan DIA yang mencari kita.

Bila kita belajar hukum-hakam syariat tentang kewujudan kita, sebenarnya ia adalah salah satu ilmu yang perlu dilalui untuk mengenal lebih dekat tentang Allah SWT. Contohnya, bila turunnya syariat solat untuk manusia, kita telah diwajibkan untuk mendirikan solat. Namun, ramai yang tidak mengetahui apakah hakikatnya solat? ramai di antara kita hanya menjadi pak turut untuk bersolat tanpa memahami apa sebenarnya solat? kenapa kita berdiri? kenapa kita rukuk? kenapa kita sujud? kenapa kita memberi salam ke kanan dan ke kiri.

Ada satu ketika, sahabat kami telah ditanya oleh rakan yang bukan seislam kita, beliau hairan, kenapa kita rukuk? kenapa kita sujud? dan kenapa kita salam kanan dan kiri, seolah-olah kita mencari Tuhan semasa rukuk, lepas itu kita sujud mencari Tuhan lagi, dan akhirnya kita pusing kanan kiri, lalu kita akur, kita tidak dapat mencari Tuhan kita, sahabat itu menjadi bahan jenaka kawan bukan seislam kita. Jadi kita tidak dapat mencari Tuhan kita? itulah bodohnya manusia itu kerna tidak mencari untuk memahami hakikat solat.

Itulah yang sedihnya tentang kita semua, ramai diantara kita tidak mencari akan kebenaran hakikat solat, hanya yang kita tahu, ikut dan buat saja, tapi hakikat solat kita langsung tidak faham hanya jadi pak turut.

Kesian manusia itu yang telah diberikan akal untuk mencari ilmu, bukan hanya menunggu disuap selalu.

Jika hakikat solat pun kita tidak mampu memahami, apatah lagi hakikat ketuhanan? iaitu mengenal Allah SWT?

Makna Alif Lamm Min "Hanya Allah yang tahu", justeru itulah, Allah SWT menyuruh kita mencari dan memahaminya, kerana jika kita dapat memahaminya, itulah perbendaharaan rahsia yang tersembunyi selama ini.

Marilah kita sama-sama mencari, carilah guru yang mursyid untuk memahami ilmu ALLAH SWT, kerana pasti rugi, jika kita tidak mencari semasa usia yang dipinjamkan pada kita, marilah kembali ke kalimah, disanalah rahsia, bukan kedudukan dan darjat kita yang menentukan diAkhirat, kita semua belum selamat, yang selamat adalah Maha jua yang sejahtera di sana.

Wallahuallam.

Friday, October 2, 2009

Menekan nafsu agar sabar sentiasa...

Jamrah

Bila hati luka, kita pendam dan sabar. Bila kecewa kita pasrah dan bersabar. Bila dugaan mendatang lagi kita hanya mampu bersabar sahaja.
Kenapa harus kita bersabar? siapa yang bersabar dan siapa yang disabarkan?
Konsep manusia yang mengandungi akal fikiran dan nafsu membuatkan manusia hilang pertimbangan di atas segala keputusan. Semua yang segala dugaan dan cubaan ini sebenarnya ditujukan khas untuk si sang nafsu yang ada pada diri manusia. Kita alpa bila kita berjaya. Kita lupa yang relak itu bukan kita, malah ia adalah si sang nafsu. Namun, jika manusia tidak dapat memisahkan dirinya dan sang nafsu, ia akan berkekalan begitu sehingga akhir hayat. Nafsu ini adalah penghalang kita, tapi nafsu ini jua akan membuka hijabnya jika kita telah mengenalnya.
Maka kita kena bersabar, kerana sabar itulah yang akan menekan nafsu itu supaya diam dan bermohon pada Allah SWT kerana semua ini hanyalah ketentuan Maha Penciptanya, dan kita ini hanya hambanya sahaja, samada manusia, nafsu dan roh, semua ini hanyalah hamba yang disuruh-suruh, jadi? yang mana satu milik kita?
Kita tiada disana sebenarnya, jadi kenapa harus marah-marah, kenapa harus kecewa? kenapa harus mengeluh, kenapa harus bersedih?
Hanya manusia sebenarnya sahaja yang tahu membezakannya, kita serah semuanya pada Allah SWT, yang Maha ESA.

Ya Allah, berikan aku kefahaman, dimana kefahaman ini adalah sebaik-baik rezeki untuk kami, amin.