Tuesday, July 31, 2012

LALAI

Pada permulaan mengenal Allah SWT secara ilmiah adalah senang, ambil kitab yang menceritakan soal-soal ketuhanan, sifat 20, maka akan kenallah kita sifat-sifatNYA, ataupun dengan membaca kitab yang berkaitan 99 nama Allah (asma'uhusna), maka akan tahulah sifat-sifat Allah.
Tetapi untuk mengenal Allah secara pasti, adalah suatu pengalaman yang cukup rumit dan payah sekali. Dan jarang sekali topik ini akan dibincangkan secara terbuka, kerana bimbang dan khuatir akan disalah ertikan kerana boleh membawa FITNAH besar.
Arafah 2008. Sebenarnya DIA ada di mana-mana,meliputi.
Ramai orang yang mengaku (macam kami) beragama ISLAM, dan berkalimah syahadat mengakui Muhammad sebagai Rasulnya dan tiada Tuhan lain melainkan Allah. 
Namun bila ditanya dan diminta diperjelaskan bagaimana Muhammad dan Allah itu?
maka ramai yang terkial-kial untuk menjawabnya, malah ada yang nafsu egois dan nafsu amarah mempertikaikan hal ini, dengan menjawab, "Buat apa perlu tahu, kita buat saja apa yang diberitahu, ikut saja, jangan susahkan diri". Apa yang mereka mampu jawab, Allah ialah Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung, tapi kurang arif tentang keagungannya itu. Manakala Muhammad pula sebagai Nabi, tetapi tidak tahu secara pasti apakah hakikat (ajaran) Nabi Muhammad SAW itu, malah jika ditanya, dimanakah Muhammad sekarang? memang tidak dapat dijawab.

Ini menunjukan bahawa ramai yang tidak mengenali Rasullullah dan Allah dengan jelas dan yakin. Ini membahayakan kerana keadaan ini seolah mereka mentauhidkan kepada sesuatu yang tidak tahu. Disinilah sia-sianya mereka itu. Maka tepatlah hadis yang berbunyi ; "Padahal mereka mengakui Nabi sebagai Rasul dan Allah, tetapi mereka masuk ke dalam neraka juga". Manakala Allah pula berfirman dengan maksudnya ;"Dan neraka Wail disediakan bagi orang-orang yang lalai di dalam solat mereka" Al Maun :5. Diulangi perkataan itu, LALAI. (maklumlah kita sudah terbiasa minta disuapkan tanpa mencari dulu mahu kerja yang senang saja).

Kita tidak perlu heran dan pelik kepada hadis atau peringatan Rasullullah dan Kalam Allah di atas. Kerana kalau kita selidiki, memang ada dikalangan kita yang hanya tahu sebut tetapi tidak tahu erti, atau yang tahu erti tetapi tidak tahu mengerti, atau hanya mengerti tetapi tidak tahu mempergunakannya.

Realitinya, inilah kita sebenarnya, ertinya kita hanya tahu menyebut tapi tidak kenal. Kita kenal Allah hanya pada sifat-sifatnya sahaja, iaitu sifat 20 dan namanya sebanyak 99. Tetapi kita tidak kenal akan HAKIKAT zat, sifat, afaal dan asmaNYA. Kita sama saja seperti burung Tiong yang pandai berkata-kata, namun hakikatnya, burung Tiong itu tidak faham apa yang dicakapnya.

Jika tahap pengenalan seperti di atas, umpama kita kenal dalam tidak tahu. Contohnya, kita memiliki gula, tahu manis kerana seseorang memberitahu gula itu manis, tetapi tidak meletakkan ke hujung lidah, menyebabkan mereka tidak dapat merasakan akan zat manis itu. Kenal yang sedemikian adalah kenal yang tidak pasti. Kenal tidak sampai ke peringkat Haq Qul Yakin.

No comments: